Friday, January 30, 2009

Umat Islam semakin berani melawan ALLAH?

Apa perbezaan kita dengan umat lain jika kita pun dah seakan menyerupai mereka?
Berani betul kita melawan ALLAH!
Setelah apa yang telah Dia berikan kepada kita,
Sikit pun tak pernah mengikut dan melakukan suruhan-Nya
Malah berbangga apabila berjaya melakukan segala larangan-Nya...

Pernah tak korang terfikir, segala apa yang kita mahu pasti ALLAH tunaikan. Tapi, mengapa kita tak pernah bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan? Susah sangat ke nak ikut apa yang Dia suruh? Islam adalah gaya hidup kita. ( Islam is the way of our life). Umat Islam sendiri berani menyatakan Islam itu susah! Sebenarnya, Islam tak pernah susah bahkan mereka yang sendiri membuat segala peraturan dan undang-undang Islam menjadi susah!

Makin sedih bila melihat remaja mahupun mereka yang berumur hampir setengah abad, tak ada perasaan segan silu memakai pakaian yang hampir tiada benang (kalau boleh nak tunjuk segala barang yang dia ada- Jangan lupa, barang tu pun ALLAH yang jadikan), mengamalkan seks bebas dan segala macam lagi perkara yang ALLAH larang, makin menjadi-jadi mereka lakukan. Astaghfirullah-al-azim, kenapa tak gunakan otak sebelum melakukan sesuatu perkara?

Ada yang mengatakan, inilah gaya hidup zaman sekarang, zaman moden atau menurut buku-buku dan kamus ilmiah Zaman Milennium. Bodoh betul jawapan itu, kenapa kita jadi begitu? Kenapa kita selalu mengikut nafsu? Betapa bangga syaitan sekarang ni(kenapa kita perlu berTUHANkan Syaitan?), kerana telah banyak cucu cicit Adam tersenarai menjadi rakan-rakan mereka di akhirat kelak. Kenapa kita biarkan Musuh kita menang tanpa bertanding? Ya, sekarang kita pula tersenarai dalam kerabat keturunan Syaitan dan Iblis. (Ingat Syaitan memang dah ada perjanjian dengan ALLAH dan dia tunaikan kewajipan yang dia janjikan pada ALLAH. Tapi, apa pula janji kita kepada ALLAH sebelum kita menjenguk pintu rahim ibu? Lagi kita INGKAR! Terus INGKAR. Syaitan bersorak meludah Iman manusia.

Pernah tak kita terpikir, kenapa ALLAH menyeru umatnya menutup aurat? Aku mengaku, aku pernah jahil dahulu dan aku bersyukur, sedikit sebanyak aku telah memahami segala perintah dan larangannya memiliki hikmah dan kebaikannya.(Manusia diberi akal untuk berfikir yang mana baik dan buruk dan bila bertemu dengan kebaikan kita akan terpanggil untuk TAUBAT) Ada baiknya jika kita mendalami Islam itu sebenarnya, TOLONG jangan cemari Agama Islam itu lagi. Islam terlalu suci! Kenapa kita bergelar Islam jika kita tak pernah nak prihatin terhadap ajaran Islam itu sendiri? Mereka yang beragama lain masing-masing sibuk menegakkan agama mereka tetapi umat Islam sendiri ada yang membenci agama mereka, kenapa? Jangan salahkan mana-mana pihak, tapi salahkan diri kita sendiri. Kita sendiri tak pernah nak melihat Islam itu dari sudut pandangan yang positif dan rasional. (Kalau dalam hati dah menolak mulut apatah lagi) Percayalah, segala tuntutan yang dikeluarkan olehNya, ada hikmah disebaliknya. ALLAH bukan sengaja mahu menetapkan segala peraturan itu mengikut kehendakNya. ALLAH pencipta seluruh alam, tiada kuasa di dunia ini melainkan kuasa-Nya. Apa korang fikir manusia dah cukup hebat dan berkuasa kalau setakat mencecahkan diri hanya selapis dari garisan luar bumi? Itu semua kecil, sekecil-kecil zarah. Jangan cepat mendabik dada. Kalau Dia nak ambil, satu petikan sahaja, dunia akan bergulung lebih kecil dari debu. Masa tu nak taubat pun, dah takde makna.

Sebelum ALLAH mengambil apa sahaja yang telah diberikan, sebaiknya kita bersujud dan menyedari segala kesilapan sebelum semuanya terlambat. Dia berhak mengambil semula apa yang telah kita miliki. Janganlah berbangga dan berlagak diatas dunia ini sedangkan semua itu adalah pemberian dari-Nya. Bersyukurlah padanya dan amalkan kehidupan yang seimbang. ‘Moderation’ merupakan konsep agama kita. Aku bukan EKSTREMIS tapi aku tetap umat manusia yang bertunjangkan agama ISLAM! Aku bukan umat-Nya yang sempurna. Aku pun banyak dosa, tapi aku tak nak melihat satu demi satu umat Islam tersungkur di kaki syaitan dan suku sakat kerabatnya. Masa makin suntuk, dunia makin uzur dan zaman makin hampir dengan zaman kejatuhan bukan lagi zaman kemodenan tetapi akan tiba ke zaman kiamat. Dunia akan jadi debu. Waktu itu, di mana kita?

Fahami dan dalami ilmu Islam dengan betul, dan dari situ barulah kita dapat memahami Islam yang sebenarnya. Ia terlalu indah dan suci,(tak dapat digambarkan keindahannya di dunia ini, tak terjangkau fikiran kesuciannya dengan sekadar merenung alam) kita tak patut mengotorinya dengan melawan ALLAH. Kembalilah ke jalan ALLAH. Pesanan ini kusampaikan pada diriku dan juga semua Umat Islam. Walaupun kubur kita asing-asing tapi Agama, Tuhan dan Kiblat kita tetap sama.

Ingatlah betapa kasihnya Rasul junjungan kita, meminta kepada Allah supaya memberi kesakitan mati itu hanya kepadanya dan kurangkanlah kesakitan itu kepada umatnya ketika mereka bertemu ajal kelak. Namun, adakah kita pernah terfikir betapa sakitnya Rasulullah Nabi Muhammad S.a.w, bila melihat umat yang ingin dilindunginya walau setelah kemangkatannya ini terus bergelumang dengan DOSA! Kerabat Syaitan sudah kenyang dengan ketawa tiba masa pula untuk kita membalas keriangan mereka dengan membuat mereka lemas dengan airmata. Tapi, adakah itu mustahil kalau masih ada mereka yang terus sesat dan alpa?

Pesanan dan amanat gabungan dua jiwa, dua rasa...
Ayuz dan Romibaiduri...
Dunia bukan lagi muda...
Hayat tidak lagi lama...
Kembalilah ke jalan kita!


Terima Kasih Umi... Terima Kasih Abah

Hari ini hari paling bahagia...
Tanpa hari ini 26 tahun yang lepas...
Tiadalah aku...
Tanpa Umi dan Abah...
Tiadalah aku melihat dunia...


29 Januari 1983. Satu tarikh yang amat biasa bagi setiap manusia di muka bumi ini. Tiada apa yang istimewa, dan hari ini adalah hari seperti hari-hari yang lainnya. Namun bagi aku, hari inilah hari yang paling bermakna. Bukan kerana hari ini hari lahir aku, tapi hari ini, aku diberi peluang untuk sama-sama hidup di muka bumi ini.

Setiap kali tarikh ini menjelma dalam kalendar harianku, pasti kenangan 26 tahun lepas kembali dalam ingatan. Seringkali umi bercerita padaku, yang aku ini lahir terlewat sebulan! Wah, benar-benar menakjubkan. Kata umi, aku sepatutnya dilahirkan pada 27-29 Disember 1982. Doktor juga ada memberikan pilihan kepada umi dan abah, sama ada ingin melakukan pembedahan untuk mengeluarkan aku atau tunggu sehingga aku bersedia untuk keluar. Keputusan di tangan abah. 'Biar dia keluar sendiri'

Bila aku kenangkan kembali, aku akan ketawa sendiri. Mana tidaknya, cerita kelahiran aku juga sedikit istimewa dan lucu berbanding adik-beradik yang lain. Kata umi, aku yang paling susah nak keluar. Dari hari ke hari, minggu ke minggu doktor beri tempoh untuk aku keluar. Tapi, bila tiba masa aku nak keluar, tak terkejar doktor dibuatnya. Umi selalu kata yang aku ini memang gelojoh orangnya. Semuanya sebab peristiwa kelahiran akulah. Masa dah sampai ke bilik pembedahan, belum sempat umi diletakkan ke katil melahirkan bayi, kepala aku dah terkeluar semasa umi masih terbaring di troli lagi. Doktor yang menyambut aku sampai tak sempat kasut dan pakai sarung tangan.

Abah pula selalu saja menyindir aku, 'sebab tu kau ni kalau bercakap, propagandanya lebih.' Rasanya, memang benar pun kata-kata abah. Kadang-kadang aku pun rasa begitu. Tapi itulah aku, Allah dah jadikan setiap manusia itu dengan sifat dan tabiatnya yang tersendiri. Bukan aku nak berbangga tapi... itu adalah kurnian. Betul tak?

Kalau tengok dari sudut yang lain, atau lebih mudah untuk aku katakan...sudut pandangan aku sendiri, aku tahu kenapa aku sengaja memilih untuk berada sepuluh bulan dalam kandungan umi. Sebab aku tak sanggup berpisah dengan umi dan abah. Bukan hanya pada ketika itu, tapi sehinggalah sekarang. Aku masih belum sedia untuk berjalan sendiri. Aku perlukan mereka, sentiasa di sisi. Mungkin bunyinya agak mementingkan diri, tapi kalau aku diberi pilihan, biarlah aku pergi dulu kerana aku tidak akan dapat hidup sekiranya mereka meninggalkan aku.

Pagi tadi... tepat pukul 12 pagi,umi menghantar sms padaku dengan kata-kata yang aku rasakan amat comel dan paling meninggalkan kesan yang paling dalam....

Selamat hari lahir yang ke 26, semoga panjang umur murah rezeki
Pada ulang tahun ini, budak yang tak pernah dewasa ni akan menjadi dewasa hendaknya
Itulah doa umi untuk puteri ke-dua umi dan abah....

Insya-Allah umi, abah.
Tapi, ketahuilah, selagi Izan bergelar anak umi dan abah...
Selagi itulah budak yang tidak pernah dewasa ini akan kekal jadi budak...
Terima kasih Umi...
Terima kasih Abah...
Doakan Izan terus jadi anak yang tidak akan lupakan kedua ibu-bapanya, keluarga, agama dan dirinya sendiri...
Amin.

Thursday, January 29, 2009

Wayang... filem kita wajah kita

Filem yang bagus tak perlu publisiti
Ia akan membuktikan kehebatannya sendiri
Wayang mampu berdiri tanpa Erra, Rosyam, Fasha mahupun Siti...




Sudah lama aku kepingin menonton filem yang serupa ini. Memang kelalaian aku kerana tidak pergi ke panggung untuk menontonnya (faham-fahamlah, masa tu ekonomi aku sebagai 'pengusaha anggur' telah banyak membataskan keinginanku). Jadi, pada hari Sabtu yang lepas, aku telah singgah ke 'pusat pembekal wajib' kegemaranku vcd/dvd di Selayang. Sebaik sahaja 'uncle' kedai tu nampak kelibat aku, pasti ini yang akan terpacul dari mulutnya... 'adik, aku ada simpan banyak vcd filem baru Salman untuk adik!' Aku hanya senyum. Pandai betul 'uncle' ambil hati aku sebagai pelanggan setianya sejak sepuluh tahun yang lepas. 'Bungkus semua!' lagak orang dah berduit konon-kononya. Memang gila aku ni. Pernah satu ketika rakanku, si Fatimah menegur... 'kak Shai, kau kalau nak keluarkan duit untuk diri kau sendiri, susah sangat aku tengok. Tapi kalau tentang vcd/dvd ni, macam air je aku tengok duit kau mengalir.' Apa yang aku boleh katakan 'tabiat aku ni memang pelik sikit... susah nak ubahlah!' Memang alasan yang tak praktikal langsung. Tapi apa boleh buat? Itu memang kelemahan aku dari dulu lagi dan aku sedang cuba berusaha 'mengurangkannya'.
Kemudian, aku tergerak untuk membelek vcd filem-filem terbaru Malaysia dan juga Hollywood yang sudah ada di pasaran. Tak tahu kenapa tapi aku sememangnya keberatan nak membelek bahagian Hollywood. Tiba-tiba saja terpapar dalam skrin mata aku ni 'BOIKOT FILAM AMERIKA! BOIKOT FILEM HOLLYWOOD!' Dan pantas saja lirik mata aku menangkap vcd filem Wayang yang sedikit tersorok di antara rimbunan filem-filem Malaysia 'tersohor' yang lainnya. Aku membelek vcd tu hampir beberapa minit.

'Cerita ni bagus dik, tak rugi beli,' kata uncle memujuk aku. Perkara wajib yang dilakukan oleh setiap penjual dan peniaga vcd. Tak kiralah yang haram atau yang halal. Dua-dua pun sama. Aku cuma senyum. Aku pandang ke matanya. Tercuit di hati nak menguji sejauh mana dia tahu tentang Wayang ni, sebab kali terakhir aku datang dia juga cuba memujuk aku membeli vcd 9 September dengan menggunakan ayat yang sama. Tapi, aku lebih kuat dan tak termakan pujuk rayu uncle sebab aku tahu, sebuah filem yang baik tak perlukan publisiti melangit. Cukuplah sekadar pemberitahuan waktu tayangan.
'Apa yang menarik cerita Wayang ni uncle, bagus sangat ke ceritanya?' desakku sekadar menguji. Niat di hati memang nak membeli. Tapi, sengaja aku ingin mengusik kejujuran uncle yang dah ku kenali sepuluh tahun.
'Kalau tengok cerita ni, baru adik rasa masih ada orang bernama Melayu di Malaysia. Bukan setakat Mat Rempit dan Mat Drift je yang ada kat Malaysia ni,' jelas uncle yang berketurunan India itu. Aku melihat dia dari atas ke bawah.
Betul ke apa yang aku dengar dan apa yang aku lihat? Tak terpesong pula uncle ni dengan gerakan HINDRAF?
'Dik, susah kalau nak cakap lebih. Cerita bagus, tak payah bising-bising satu kampung... apa guna pecah panggung kalau filem tahap pecah punggung!'
Hui, semakin berani uncle ni berkata-kata, tercabar pula aku mendengarnya.
'Okey, saya beli!' kataku menghentikan kata-katanya.
'Yang tadi jadi beli?
'Mestilah!'

Benar kata-kata uncle. Tak perlu heboh sekampung nak katakan filem wayang ni bagus. Tak perlu juga dibuktikan dengan kutipan pecah panggung. Cukup sekadar penghayatan yang memang mendahagakan filem kita wajah kita.

Tahniah untuk semua barisan pelakon Wayang dan semestinya kepada saudara Hatta Azad Khan. Terlalu banyak yang ingin diperkatakan tetapi terlalu kurang perkataan yang boleh menggambarkan berapa filem Wayang ini merenjat kesedaran aku sebagai penggemar filem Melayu. Aku harap, di masa hadapan akan ada lagi filem-filem serupa ini. Sudah lama rasanya industri filem Malaysia ketandusan filem yang serupa ini. Sekali lagi tahniah Wayang! Aku bangga untuk mengatakan Wayang... filem kita wajah kita. Bukan filem kita wajah orang asing!!!! Bila lagi agaknya aku boleh menonton filem setaraf filem Wayang?

Sepanjang menonton Wayang, tangan aku turut terikut-ikut memainkan rentak canang,
teringat balik zaman aku belajar wayang kulit di ASWARA
Siapa kata Wayang kulit ni buang masa?
Maknanya memanglah orang tu tak kenal dirinya...

Wednesday, January 28, 2009

Yang Terindah...

Seorang anak kecil...
Tidaklah cantik tapi manis orangnya...
Seorang gadis perawan...
Tidaklah lemah lembut orangnya tapi penuh dengan kasih sayang...
Itulah dia adikku...
Shahyuzana Akmam...

27 Januari 1987. Ketika itu aku masih lagi kecil. Seingat aku, aku baru sahaja 3 tahun dan berbaki 2 hari sebelum mencecah usia 4 tahun. Sepanjang yang aku ingat, umi dan abah mengatakan gelaran 'adik' yang aku pegang akan jatuh kepada orang baru. Aku akan menjadi kakak. Masih jelas lagi dalam ingatanku, bagaimana aku sering saja menantikan saat adik aku itu keluar dari dunianya. Dia yang aku nanti-nantikan sebagai teman.

Mengenang kembali hari ini 22 tahun yang lepas. Si adik kecil yang tak pernah terlepas dari pandanganku. Kini, lebih dewasa dan lagaknya matang mengalahkan aku sendiri kakaknya yang berusia 26 tahun.

Sesungguhnya tiada kata-kata yang dapat terluahkan...
Hanya ucapan Selamat Hari Lahir...
Semoga kau mengecapi segala kemahuanmu...
Dan sentiasa dalam keberkatan Allah Yang Maha Esa...

Tuesday, January 27, 2009

Antara aku dan AKU di Palestine!

Jangan dengar nasihat orang gagal...
Sudahnya kau tidak akan berganjak...
Jangan fikir kau akan gagal...
Makanya kau tak akan hidup



Al kisahnya, malam Sabtu lepas aku dan dua rakan yang paling sejiwa (Fatimah Sri dan Nurjihadah) pergi 'berpoya-poya' di laman Istana Budaya sempena Malam Puisi Utusan Demimu Palestine.

Sudah lama aku menunggu acara seperti ini diadakan. Jadi bila aku terbaca tentang malam puisi anjuran Utusan ini, aku pun terus rembat saja peluang yang ada. Nawaitu aku hanyalah untuk bersama-sama yang lain memberi sokongan terhadap saudaraku di Gaza dan dalam masa yang sama merenjat kesedaran dalam diri sendiri.

Memandangkan aku baru sahaja menggalas tanggungjawab sebagai 'pelapor berbayar' di sebuah syarikat, jadi aku turut dipertanggungjawabkan untuk membuat laporan. Bukan setakat buat laporan, tetapi terpaksa menghadap orang-orang berwajah plastik, hipokrit dan apa-apa lagi yang sama sealiran dengannya.

Malam itu dimulakan dengan nyanyian sifu dan tok guruku, encik Zubir Ali bersama-sama trio Harmoni. Lagu Balada Seorang Gadis Kecil dan Surat untuk Tuan Presiden sudah cukup mengejutkan kujur tubuh yang lesu. Andai lagu itu bisa berkumandang di corong telinga si bangsa laknat dan dayus serta sekutunya yang masih mampu memejamkan mata, dan memekakkan telinga pasti tertampar dengan bait-bait liriknya.

Linangan airmata tak putus-putus. Namun adakah ianya dapat sampai kepada mereka? Anak-anak Gaza. Adakah mereka tahu yang saudara mereka di sini kepingin untuk bersama-sama berjuang menentang bangsa dayus, bangsa laknat itu? Tangisan itu menjadi kaku dan beku bila Kopratasa menghiasi ruang pentas. Satu baris ayat yang masih aku ingat tika ini, 'mereka tidak perlukan tangisan tetapi sokongan,'!

Ya! Memang benar. Pantas linangan airmata yang menujah aku potong dari terus bertali arus. Aku terlalu asyik mendengar deklamasi sajak sehingga terlupa tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Berat rasa hati untuk meninggalkan tempat dudukku sebagai penonton dan juga penyokong. Lantas, Fatimah angguk faham. Langkah longlai, aku menuju ke kerusi VIP dan VVIP sambil lirik mataku sempat jatuh kepada seorang gadis flora merah melintasi dengan tempelan bunga-bunga reflesia di bajunya. Baju bunga reflesia di baju? Apakah signifikan baju itu bisik ku sendiri. Aku tinggalkan sekejap gadis bunga plastik itu.

Berat juga mata pena untuk memuntahkan dakwatnya. Kenapa bangang sangat manusia di depan aku ni? Soalan mudah ditanya, jawapan tanpa akal pula diberi. Namun, aku harus ucap tahniah kerana sekurang-kurangnya dia (seorang CEO) jujur memberi jawapan.
"Kenapa terpanggil untuk turut hadir ke majlis bacaan malam puisi utusan demimu Palestine ni?"
"Orang dah panggil... datanglah," jawab si CEO sambil tersengih membetulkan seluarnya.
Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku ambil M16 dan ku tembak tepat ke perutnya yang sedikit membuncit. Takpelah. Dia orang VIP. Jawapan tu, jawapan standard! Aku tanya lagi, siapa gerangan yang membuat puisi yang dibacanya.
"Adalah seseorang yang suruh saya bacakan," katanya lagi, kini riak wajahnya sedikit berubah sambil mengerling ke arah jam.

Belum pun habis majlis, kaki dan kepala kosong tidak berisinya sudah berkira-kira untuk pulang. Jadi, aku pun turut ucapkan, Selamat Tinggal Si Kakak Tua! Aku menjengah sekejap di tempat duduk para artisan muka 'pujaan' ramai. Lagi sakit jiwa bila mendengar kata-kata dan telatah mereka. Sehinggakan aku tidak sanggup mencatatkannya di sini. Bak kata Dato' Siti... biarlah rahsia!

Namun malam itu membuatkan aku sekali lagi berdiri di dalam persimpangan hidupku. Aku bertemu dengan otai-otai lagu puisi. Kopratasa. Biarlah aku tinggalkan kata-katanya sebagai ingatan aku sendiri. Walaupun kata-kata abang Sani (aku kira lebih senang memanggilnya abang) sedikit pahit dan sedikit menghiris, aku menganggapnya sebagai satu nasihat dari seorang abang kepada adiknya. Apatah lagi ketika teguran dibuat di hadapan barisan penulis yang sememangnya aku segani... Zaen Kasturi dan Rahimidin Zahari.

Aku kagum sikap bersahaja abang Siso dan Ucop. Nasihatnya yang aku kira boleh dikongsi bersama di sini ... "jangan dengar nasihat dari orang yang gagal, nanti kau pun gagal!"
Ya... memang benar kata-kata abang Siso itu. Hidup kita, kita sendiri tentukan. Selagi tak merasa sakit, kita tidak akan tahu, apa nikmat dan hikmah kesakitan itu.
Aku kembali ke kerusi penonton. Kali ini, aku buang jauh-jauh tugasku dan tumpukan segala perhatian dan diri aku pada pentas. Aku kembali masuk ke dalam aku. Persembahan semakin panas. Tahniah kepada Hj Aznil kerana berjaya membuatkan penonton setia terpaku di kerusi masing-masing. Cuma malam itu sedikit terganggu apabila gadis Flora berbaju bunga reflesia berdiri di atas pentas. Bacaannya sukar untuk menetap dalam hati kerana tumpuan aku lebih kepada bunga-bungaan reflesia yang melambai-lambai menggamit perhatianku. Takpelah, sekurang-kurangnya, dia mencuba.

Malam ini aku kira, aku sedang bermain dengan aku dan AKU! Aku lebih suka dengan aku yang diam, lebih banyak memerhati dan menyimpannya untuk tatapan aku sendiri dari aku yang lebih suka bersoal-jawab, berlari ke sana dan ke sini semata-mata untuk menulis sesuatu yang bisa dijadikan sebagai 'berita'.

Antara aku dan AKU...
aku sahaja tahu yang mana adalah aku...
dan aku lebih rela terus menjadi aku...
dari menjadi aku yang bukan aku!

Monday, January 19, 2009

Kepala Pusing

Andai dipisah lagu dan irama
Lemah tiada berjiwa... hampa

Semalam, hari kemuncak industri muzik. Malam anugerah juara lagu. Barangkali, acara ini merupakan satu acara wajib yang tercatit dalam diari setiap insan, khususnya mereka yang bergelar insan seni.

Bohong kalau aku katakan, yang aku tidak berminat untuk ambil tahu perkembangan industri muzik tanah air. Tapi, aku tak nafikan juga yang aku lebih banyak cenderung menghabiskan masa meneliti perkembangan terbaru di Gaza. Sehinggakan ada yang memberi teguran ikhlas, "jangan asyik tengok luar, dalam negara sendiri pun dah banyak masalah. Cubalah buka mata dan telinga sikit!"

Itu yang aku lakukan malam semalam. Aku memakukan diri betul-betul di hadapan peti tv, sampaikan peluh Faizal Tahir dapat ku lihat titisnya menyentuh lantai pentas! Sepanjang persembahan, aku cuma boleh luahkan dalam dua perkataan. Kepala pusing. Kenapa kepala pusing? Biarlah aku sendiri yang fikirkan. Biarlah kepala aku seorang sahaja yang pusing, takut-takut nanti kalau aku kongsi bersama di sini, semua kepala jadi gasing.

Aku terkilan sikit...
Apa dah jadi dengan Spider sampai persembahan nampak mati dan tak bermaya?
Kenapa persembahan Faizal Tahir pula macam berat sebelah....?
Oh pusing-pusing.....
kepala pusing aku dibuatnya...

Wednesday, January 14, 2009

Sudah-sudahlah...

Hari ini aku ketawa, ketawa dan terus ketawa
Hari ini juga aku sedih, hampa dan akhirnya menangis....


Tidak akan berubah agaknya keadaan politik negara kita ni. Setiap kali ada pilihanraya, tak kisahlah yang kecil, yang besar pasti ada sahaja berita sensasi. Penyokong BN kena sepak terajangla. Penyokong pembangkang bertindak ganas, melempang, menerajang dan segala mak datuk lagi yang keluar.


Apa sangatlah faedah yang dapat dengan buat perkara yang tak mendatangkan faedah ni? Tambah memalukan bangsa sendiri. Bila aku tengok berita tadi, (yang kebetulannya aku tengah makan) rasa macam nak tersembur dan termuntah semua isi dalam mulut. Apalah agaknya yang cuba diperjuangkan? Aku naik bosan dan merasakan semua yang tergambar di skrin tv tu umpama budak-budak yang sedang beramai-ramai berjalan mengiringi sebuah kerusi. Lagu berhenti, maka berebutlah masing-masing nak duduk di atas kerusi. Ada yang menolak, ada yang menangis dan ada yang lebih tragik lagi... kerusi tu dirampas dan ditarik ke tempat lain. Supaya dia dapat duduk dengan aman.


Kalau tengok anak-anak yang berebut kerusi nampak memang comel. Tapi bila tengok bapak dan mak budak yang berebut kerusi.... ish ish ish.... buruk benar gayanya!


Sana sini kempen... bila waktu sebelum mengundi(ini perkara normal) "saya dengar semua rintihan rakyat, bukan setakat masalah yang besar sahaja. Masalah yang kecil pun saya akan bantu!" Sebenarnya itu bahasa halusnya. Kalau diamati dengan lebih mendalam ayatnya bermaksud begini, “saya terima semua jenis ‘sampul’, bukan yang besar sahaja, malah yang sampulnya kecil pun saya akan rembat.”


Sekarang ni apa yang aku dapat tengok, kawasan kubur sebelum nak masuk simpang kawasan perumahan aku masih tak ada sistem perparitan yang betul. Hujan sikit saja, banjir! Nasib baik kereta yang aku pandu tak berhenti. Yalah, walaupun kereta tu berjenama haiwan, tapi ia tetap mampu membawa aku ke mana-mana saja. Tapi, lama-kelamaan kalau masalah ini dibiarkan, pacuan empat roda Harrier pun boleh tenggelam! Mana agaknya wakil rakyat ya?


Berita tadi juga membuatkan aku sedih dan menangis sendiri. Kenapa? Si pemberita dengan yakinnya bercakap, masalah di tebing Gaza mungkin akan menerima bantuan kerana PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ataupun Perbadanan Buat-buat Bodoh?) akan mengadakan mesyuarat esok!


Masuk hari ni saja dah 19 hari operasi pembersihan etnik di Gaza dan menyebabkan 1000 kematian dan 4400 cedera, tapi si PBB ni baru terhegeh-hegeh nak mesyuarat. Kenapa tak tunggu hari ke 50 saja. Bukankah lagi bagus?


Aku tahu, mesti ada yang cakap,"apalah kau ni? Itu dah kira bersyukurlah nak juga adakan mesyuarat. Kalau tak buat langsung? Macam mana?" Aku pula jawab, "Kalau dah kes yang membawa soal nyawa, tak elok diperlewatkan. Setiap nyawa itu penting. Bayangkan yang terkulai tu anak-anak dan adik-adik kau! Apa kau sanggup tengok mak dan ayah kau diperlakukan macam ayam! Disembelih hidup-hidup?"


Bukannya aku asyik merenung semut di sebalik gunung dan gajah depan mata aku buat tak tahu. Masalahnya gajah di depan mata aku ni pun sama juga fe'elnya dengan kes semut di seberang sana.


Bilalah agaknya tikus-tikus di sini dapat berfikir dan bertindak seperti yang sepatutnya! Hai, apalah nasib badan! Aku pun dah tak kuasa nak melayan benda-benda provokasi dan propaganda yang sengaja mengapi-apikan dan memanipulasi pemikiran pengundi. Keputusan di tangan masing-masing. Masing-masing ada otak dan masih boleh berfikir dengan bagus. Jadi, pilihlah ikut suara hati bukan kerana terikut-ikut orang atau takut tak dapat tender keluaran akan datang. Ooppss... ditapis. Mata-mata ISA ada terpasang di setiap tempat. Hati-hati, kadang-kadang dinding batu ni pun ada mata!


Aku berharap juga golongan zionis Malaysia tidak akan berani menceroboh tanah rezab Melayu! Kalau bukan kita, siapa lagi nak pertahankan hak Melayu? Tolonglah lepaskan kampungku Chubadak dan Kg Puah tu. Banyak benar kenangan manis... tempat lahir dan jatuh bangun aku di situ.

Gaza perlu dihapuskan?

Kisah Nagazaki dan Heroshima akan berulang!
Niat Israel semakin jadi nyata... nyahkan Gaza dari muka bumi.
Bangsa laknat semakin berkuasa...
Angkuh menafikan ciptaan makhluk Allah
Kenapa kita perlu menyaksikan kejadian ini dari terus berlaku?
Mana PBB? OIC?
Mesyuarat sana sini tapi satu pun tak jadi
Hanya ketap bibir... terus memerhati!

Pagi tadi aku dikejutkan dengan laporan saudara seIslam yang tidak jemu melaporkan kejadian sebenar yang berlaku di Gaza. Palestine. Aku kagumi usahanya. Walaupun tiada siapa yang dapat membantu (yang ada bantu simpati dan tolong tengok aje!), dia tetap berharap agar ada pihak yang datang menghulurkan pertolongan... bukan sekadar bersimpati!

Semalam (Selasa) adalah hari ke-18 serangan ke atas Gaza oleh Israel seperti yang dilaporkan oleh Sameh dalam blognya.

Kematian yang dicatatkan adalah sebanyak 980 dan mereka yang tercedera pula sebanyak 4400! Jumlah ini pasti akan terus meningkat. Ya! Tambahan pula dengan kata-kata angkuh pemimpin Israel (seperti yang dinyatakan di dalam blog Sameh) "Gaza perlu dilenyapkan dari peta dunia melalui serangan nuklear sepertimana yang pernah dilakukan oleh Amerika terhadap Heroshima dan Nagazaki!"

Lihat betapa angkuhnya pemimpin Israel! Apa tidaknya? Dia seronok dalam usahanya 'membersihkan' Palestine dengan kehadiran umat Islam! Mungkin ada yang sedikit keliru jika dikatakan membersih di sini. Perkataan yang agak-agaknya universal (sebab ada orang memang enggan tahu walau pada dasarnya terlebih tahu maksud perkataan itu) iaitu 'cleansing ethnic'. Pernah satu ketika dahulu isu ini dibangkitkan di Malaysia.

Malaysia mengamalkan 'cleansing ethnic?' Siapalah yang haprak sangat sampai fikir macam tu? Aku tengok bangsa yang menuduh konon-kononnya Malaysia menjalankan pembersihan kaum ni sihat je. Malah ada juga yang tersenarai dalam sepuluh individu terkaya di Malaysia. Lagi bertambah takjubnya tuduhan itu bila ada antara mereka memegang jawatan dalam kabinet. Adakah itu yang dikatakan pembersihan kaum?

Fikirlah sendiri,
Ada akal guna... bukan ada akal simpan dalam peti sejuk
Mana tak beku kepala otak tu!


Kalau nak merasa sangat apa itu pembersihan kaum, pergilah ke Gaza tak pun ke India sendiri. Baru tahu apa itu maksud sebenar pembersihan kaum.


Tuesday, January 13, 2009

Nadi Kita...Hantarkan Darahku Ke Sana

Sesuatu yang membawa kebaikan dan diikuti dengan niat yang betul
akan menempuh pelbagai dugaan,
Awalnya kau akan dikecewakan,
Jika kau tabah dan cekal,
Insya-Allah... hasrat dan niat murni itu pasti termakbul jua...

Sepertimana niat suci kita
menyampaikan suara yang tidak kedengaran...
luahan yang tidak kesampaian...
Walau bilangan mereka yang memahami itu sedikit
Sudah cukup untuk kita...
dan ia tidak akan berakhir di sini...
kerana ia hanyalah satu titik permulaan...
untuk sebuah nama yang digelar...
PERJUANGAN!



Hari ini, peristiwa di Gaza mengetuk sebuah kenangan yang sentiasa terbenam dalam diri.Sebuah kenangan yang tercipta pada Malam Puisi Warisan Aswara-Ogos 2006 (Bertemakan Kemanusiaan). Masih lagi jelas diingatan, betapa berkobar-kobarnya enam jiwa dalam menjayakan sebuah lagu puisi untuk dipersembahkan ke tontonan khalayak Aswara khususnya.


Semuanya gara-gara kelas penulisan lirik dibawah tunjuk ajar Encik Zubir Ali.

Kelas penulisan lirik antara kelas yang paling aku rindui. Terutama sekali melihat gelagat Encik Zubir. Seakan tersuntik satu rasa yang amat sukar dijelaskan dalam kata-kata. Tidak bisa akan terlenyap dalam ingatan. Sepanjang sesi pembelajaran bersama Encik Zubir, terasa seolah aku berada di alam lain. Aku lebih mengenali aku. Aku lebih mengenali manusia!


Aku dapat merasakan setiap urat dalam otakku 'bekerja' dan juga 'terjaga' dari lena. Encik Zubir memaksa otakku terjaga. Setiap sesi, pasti ada kejutan. Masih jelas terbayang, pada hari itu, aku dan rakan-rakan yang lain dikejutkan dengan kehadiran sebuah lagu puisi hasil karya Roslan Long dan Hadi Hassan bertajuk 'Nadi kita...hantarkan darahku ke sana'.

Kebetulan pada ketika itu, Israel(Yahudi sialan!) mengasari penduduk dan saudara Islam di Beirut. Kali pertama menyelusuri bait-bait ayat dalam lagu itu, mengundang air mata. Kata-katanya merenjat setiap inci tubuhku. Kata-katanya bisa menggoncang jiwa.

Aku fikir, aku sahaja yang merasakan amukan jiwa. Rupa-rupanya, ada juga antara rakan-rakanku merasakan gelora yang sama. Pantas, terciptalah sebuah akal fikiran untuk menggunakan lagu puisi itu di Malam Puisi Aswara. Tujuan sebenarnya, tiada lain hanyalah untuk menyuntik kesedaran (ada antara budak-budak ASWARA leka dan taksub dengan diri sendiri sehingga lupa akan kekejaman yang melanda Beirut)

Bermulalah perjalanan sebuah perjuangan.

Kami berenam (Nurjihadah, Fatimah Sri, Haironizan, Nourisalwa, Nurul Mardhiah dan aku) mula membuat persiapan. Dari gaya persembahan sehinggalah kostum dan prop. Setiap kali bertemu, satu sahaja yang bermain dan terus menjadi niat dalam hati.


'Persembahan ini untuk rakyat Beirut, untuk saudara seIslam kita...'

Masing-masing memegang tugas yang telah ditetapkan. Aku pula memilih untuk membuat persembahan slide, khas untuk ditayangkan pada malam itu. Secara jujurnya, persembahan slide inlah, kali pertama dalam hidupku memakan masa yang amat lama. Bukan kerana tidak cukup masa tetapi, perasaan hiba yang meruntun. Bayangkan... aku terpaksa menatap kekejaman Zionis di depan mata saban saat. Mayat kanak-kanak yang bergelimpangan, orang-orang tua malah ada juga gambar si ibu yang cuba menenangkan anaknya!

Bukan manusia sekiranya tidak ada perasaan sedih pabila melihat gambar-gambar itu. Beberapa kali juga aku terpaksa berhenti, ambil masa untuk menenangkan jiwaku sendiri. Mujurlah ada rakan-rakan yang turut sama memujuk rasa hati yang gundah.

Tiba hari yang dinantikan, aku bersedia memberikan cd untuk slide dimainkan. Malangnya, cd itu tidak bersuara, yang ada cuma gambar bisu. Tinggal beberapa minit lagi untuk persembahan. Mulanya, mereka suruh batalkan sahaja penggunaan slide. Tapi, slide itu adalah nyawa kepada persembahan itu.

Kami berenam berusaha mencari jalan. Ada antara kami bertempiaran mencari laptop. Malah darah yang diperlukan sebagai props masih lagi belum disediakan. Kain yang dibeli untuk kami jadikan sebagai kain pembalut bukan dari jenis yang dirancang dari awal. Ada juga yang ukuran kainnya salah. Ya Allah, sememangnya Kau ingin menduga kesungguhan dan niat luhur kami.

Nasib memang menyebelahi kami. Abang teknikal memberi peluang untuk aku memindahkan persembahan slide itu di dalam cd baru dan dia secara sukarela ingin membantu.

Alhamdulillah, cd sudah tersedia.

Sebelum membuat persembahan, seperti biasa kata-kata perangsang amat penting. Kami peringatkan diri masing-masing tentang niat persembahan untuk malam itu dan laungan Allahu Akhbar menambahkan lagi pemberontakan terhadap Zionis dari dalam jiwa.


Persembahan dimulakan dengan bacaan puisi(lagu puisi tersebut disampaikan secara bacaan biasa dahulu sebelum dinyanyikan), setiap satu rangkap seorang. Setiap seorang membawa sebatang lilin yang sengaja tidak dinyalakan apinya. Selesai sahaja bacaan puisi, aku dan Nurul Mardhiah, keluar dengan membawa lilin yang bercahaya. Ketika ini, lagu Nadi kita berkumandang dan kami datang di antara mereka yang lain sambil menyalakan api kepada lilin mereka yang tidak bercahaya tadi.

Apabila lagu puisi menyentuh bait-bait ‘kemanusiaan yang hilang erti’…
Cahaya lilin dipadamkan dengan tapak tangan masing-masing
Diikuti dengan percikan darah yang sengaja dilumurkan pada kain putih yang menyelubungi tubuh masing-masing…

Persembahan disudahi dengan keenam-enam kami jatuh terkulai…
sebaik sahaja muzik berhenti berkumandang yang sekaligus membawa persoalan….

Masih adakah harapan untuk mereka kembali ‘bernyawa’?
Adakah Gaza juga akan terus dibedil dengan kekejaman peluru tentera Zionis yang tidak bermata?

video

Persembahan Slide yang mengiringi persembahan Nadi Kita...

Pertama kali TAG... aku pun musykil!

Sebenarnya, aku tak berapa memahami konsep tag-tagging ni. Pagi tadi Hafirda, kejutkan aku dan mengatakan aku dah di TAG! Jadi, ini percubaan kali pertama. Harap-harapnya, bolehlah.

1.Do you think you are hot?
Hot-tempered? Kalau yang itu memang aku mengaku. Tapi kena dengan tempatnya. Kalau 'hot' ada makna yang lain, tidak mungkin. Aku ni... yang sedang-sedang saja!

2. Upload your favourite picture of you.
Malam Puisi Warisan... tema kemanusiaan

3. Why do you like that picture?
Kenangan untuk menggegarkan manusia di ASWARA yang 'terlena' tentang kesengsaraan saudara kita di sana!

4. When was the last time you ate pizza?
Aku tak makan pizza, malah dah buat perjanjian dengan diri sendiri. Boikot KFC dan Pizza juga yang sekutu dengannya.


5. The last song you listened to?
Nadi kita... hantarkan darahku ke sana. Baru beberapa minit lepas. Masih dengar pun sekarang ni.


6. What are you doing right now besides this?
Baca dan membalas e-mail sahabatku yang sedang berjuang di Palestine - Sameer Habeeb.

7. What name would you prefer besides this?
Mungkin tidak ada sesiapa dalam senarai aku. Aku tengah melayang memikirkan hal yang lain terutama saudaraku di Gaza. Tapi, aku tidak mahu melepaskan peluang berjinak-jinak dengan permainan ni. Jadi, akan aku senaraikan lima orang itu.

1. Shana
2. Nurjihadah
3. Corina
4. Mounia
5. Dinaz Salsabila

8. Who is no. 1?
Nyawa aku!

9. No. 3 is having relationship with?
She is my sweet little sister from Romania... she's having a deep relationship with someone that I love as well. Guess who? Hehehehe

10. Say something about no. 5
Baru sahaja berkenalan... masih dalam proses untuk mengenali.

11. How about no. 4?
My sister from France that always make me smile... even we never met but she is a sweetheart!

12. Who is no. 2?
Penulis yang bakal menggegarkan dunia penulisan. Jaga-jaga dan nantikan kehadirannya.


* Hafirda... terima kasih kerana beri peluang cuba mainan tag-tagging ni....

Monday, January 12, 2009

Tangisan... darah dan nyawa saudaraku... di bumi Palestine...

Rentetan kisah hidup saudaraku
Nyawa bagai sekeping kertas
Darah melimpah melaut
membanjiri setiap inci bumi Palestine
Siapa yang kejam?
Yahudi? Amerika atau kita sendiri umat Islam?

Islam saling bertelagah
Siapa kuat, siapa hebat?
Yahudi ketawa....
kan ku hapuskan bangsamu!

Nyawa bagai pepatungan
Dibedil, diterajang, ditetak...
Saudaraku tersembam ke kaki si kufar
Yahudi bangsa laknat!

Bumi Arab tetap bisu...
Si laknat makin galak
Setiap jantung dirobek
Setiap tubuh dihinjak-hinjak
Setiap batang leher ditetak...
berhamburan darah saudaraku
mensucikan dosa mereka...

Amerika tersenyum lagi...
Ayuh... hapuskan orang Islam!
Kita Tuhan dunia, dunia hamba kita!
PBB di bawah kaki kita
tidak ada rantai dapat mengikat
peluru Yahudi pantang disekat
Ayuh... nyahkan bangsa Islam!

Di sini...
Di bumi bertuah ini
kita hanya memerhati
Menangisi takdir
Berteka-teki apa yang bakal terjadi
Kenapa tidak Allah membantu muslim dari terus dizalimi?

Jangan persoalkan Allah
Salahkan diri, apa yang terjadi?
Mengapa Islam dianggap mudah?
Pandang diri, renungi peribadi....
Adakah aku ini Islam?
Islam apakah aku ini?

Di sini kita senyum... gembira
Terkinja-kinja, terlompat-lompat
mabuk dek lagu cinta lagu rindu...

Hari ini mungkin saudaraku di Gaza dikasari...
Esok lusa... siapa tahu?
Mungkin kau dan aku mati di kaki bangsa yang dilaknati!

~RomiBaiduri Zahar~


Pagi tadi, ada satu tajuk akhbar buatkan aku geli perut. Bukan sebab lucu tapi mual. Aku benci tajuk itu. Tatkala memandang ayatnya, bagaikan satu pujukan yang berbau simpati. Kenapa perlu aku simpati?

JANGAN MELULU BOIKOT KFC!

Kalau begitu, khabarkan pada Yahudi.

JANGAN MELULU BANTAI PALESTINE!

Rakyat Malaysia dinasihatkan jangan mengikut emosi mengambil tindakan. Fikirkan nasib pekerja-pekerja KFC dan juga PIZZA HUT yang juga rakyat Malaysia dan Islam. Kehidupan mereka bergantung kepada jualan KFC dan Pizza Hut ini.

Adakah cara lain yang termampu kita usahakan selain memboikot barangan Israel dan sekutunya Amerika? Sedangkan cara yang satu ini masih lagi dipandang dingin. (kalau tak percaya, pergi tengok restoran KFC, McD dan sewaktu dengannya... berlambak-lambak lagi bangsa kita yang menyantap sedangkan beratus-ratus saudara kita mati ditangan 'PENGUSAHA' restoran ini)

Ini sahaja cara yang mampu dilakukan. Itupun dipujuk rayu agar menghentikan boikot ini. Hendak sama-sama turut membantu, aku tak mampu. Duit yang dihulurkan entah sampai entahkan tidak! Bila mengenangkan nasib saudaraku, bukan setakat sayu. Malah hati aku meronta-ronta hendak sama ke sana. Aku tahu, keadaannya tidak sama dengan apa yang dilihat di kaca tv. Mungkin belum sempat menjejakkan kaki, nyawa melayang disambar peluru Yahudi.

Apa yang mampu aku lakukan, akan aku cuba tunai dan usahakan. Biarlah bertimbun pujukan yang dikeluarkan. Aku tetap dengan pendirian. Ucapkan tidak kepada Yahudi dan Amerika! Kita bersama-sama mampu mengubahnya. Insya-Allah.

Tiba-tiba aku terkenangkan sebuah lagu puisi yang bertajuk 'Nadi kita... hantarkan darahku ke sana'. Kalau bukan wang, atau kudrat mungkin darahku ini bisa memberikan sedikit bantuan kepada kamu saudaraku.

Aku tinggalkan hari ini dengan beberapa rangkap ayat, petikan dari lagu nadi kita.

Hantarkan segera darahku ke sana
Agar mereka bisa kembali bernyawa
Jangan kau pudarkan
Semangat yang membara
Biar insan durjana
Melutut di kaki mereka...

Adakah peluang untuk mereka (saudara Islamku) untuk kembali bernyawa?






Sunday, January 4, 2009

Malam Genta Puisi ASWARA-PENA… Penyuntik jiwa yang hampir mati

Aku bukan bangsa India untuk cabut ke bumi Gangga
Aku bukan bangsa Cina untuk bersembunyi ke Tanah Besar
Bangsa aku adalah Melayu, yang tidak pernah akan layu…
Biar bumi Melayu ini dihujani musibah…
Tidak akan sesekali aku jatuh dan rebah…
Sujud ke kaki bangsa pendatang untuk aku sembah….


31 Disember 2008, merupakan satu-satunya tarikh yang akan selalu terbenam dalam jiwaku. Percaya atau tidak, inilah kali pertama dalam hidup aku (setelah hidup 25 tahun) aku diberikan kebebasan untuk meraikan kedatangan malam Tahun Baru(diingatkan : bukan kalendar Islam!) bersama dua sahabatku dan ditemani adik kepada salah seorang sahabatku. Abah dan umi memberikan izin dan sepenuh kepercayaan kepada aku. Peluang yang sukar untuk datang berulang kali dalam hidup ini telah aku pergunakan sebaik-baiknya. Aku ingin memulakan tahun baru ini dengan sesuatu yang lebih bermakna. Bukan sekadar menjadi golongan Jibauk atau Kongkang yang berpakaian eksklusif sambil bertepuk tangan menyaksikan percikan bunga api, dan terkinja-kinja bersama iringan muzik yang bingit lagi menghimpit jiwa yang sememangnya hampir-hampir mati.

Aku terpanggil untuk menghadirkan diri ke malam genta puisi anjuran ASWARA dan PENA. Tahun lepas, aku gagal untuk berbuat demikian kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Sebelum aku menjejakkan kaki ke ASWARA, pelbagai perkara yang melintas di fikiran. Tidak sabar untuk menikmati santapan kepada jiwaku yang kebuluran dan kedahagaan. Aku kebutuhan mencari penawar yang bisa merawat rohku yang selama ini hidup dalam kedunguan. Aku perlu membebaskan jiwa dan rohku dari cengkaman orang-orang gasar.

Sebaik sahaja aku menjejakkan kaki ke ASWARA, kenangan sebagai pelajar segera menyelinap masuk ke dalam nurani. Dari kejauhan aku melihat perwira-perwira yang pernah mengajarku jurus dan pencak ilmu penulisan, En Ridzuan Harun, En Zakaria Ariffin dan Tuan Hj Mohd Ghazali Abdullah. Sekaligus membuatkan aku serta dua sahabatku (Nurjihadah dan Fatimah Sri) merasakan diri sebagai pelajar ASWARA. Rasa rindu untuk sama-sama berdiri di barisan depan sambil menyambut tetamu membuak-buak dalam hati. Namun, rasa itu perlu dikuburkan. Gelaran itu tidak lagi ada dan Puan Normadiah (pegawai ASWARA yang paling mesra dan bagi aku, dialah individu yang paling sesuai menjadi contoh kepada pegawai ASWARA yang lainnya…. BUDI BAHASA BUDAYA KITA) segera menunjukkan tempat duduk kami.

Acara malam puisi dimulakan agak lewat dari yang telah dijadualkan (kerana tetamu kehormat lewat, memang alasan yang biasa dan wajib! Agaknya….). Ketika kertas aturcara diedarkan, aku pantas meneliti dan membaca satu persatu nama yang bakal menggegarkan Anjung Beringin yang sememangnya dingin… Melihatkan nama-nama itu membangkitkan rasa keterujaan dalam hati. Acara dimulakan dengan ucapan dan bacaan puisi oleh rektor ASWARA gagal untuk menetap di akal fikiranku. Aku tidak menyalahkan rektor, kerana dia sudah cuba sedaya upaya untuk menyampaikan puisi itu secara santai. Aku juga tidak boleh membodohkan otak aku yang langsung tidak memberi ruang untuk puisi itu. Mungkin, pembacaan tanpa jiwa yang membuatkan otak aku terus menendang cubaan rektor. Cuba lagi tahun hadapan ya!

Malam itu, yang sebenar-benarnya membuka gelanggang untuk mindaku bernafas adalah puisi dari saudara Baha Zain. Kata-katanya merenjat nadi-nadi yang tersekat dek lemak budaya asing yang seakan larut dalam darahku. Kecintaan aku kepada bangsa Melayu sedikit-sedikit dan beransur-ansur bangkit. Rata-rata pada malam itu, puisi yang disampaikan berjaya meragut kealpaan aku yang sujud ke budaya pendatang. Bacaan puisi terpaksa bersaing dengan suara alpa dari Dataran Merdeka yang mengisi setiap zarah udara. Kedengaran mendayu-dayu, godaan dan pujukan penuh hipokrasi dan tipu daya dalam lagu-lagu patriotik untuk masyarakat majmuk!

Tidak semudah itu untuk memadamkan kemarakan dan kehangatan suara segelintir penyajak yang benar-benar telus dengan rasa kecintaan kepada bangsa Melayu. Tidak mudah untuk tunduk atas tiket masyarakat majmuk. Di anjung ini, bukan politik tetapi suara keberanian, suara amarah dan suara yang penuh dengan protes. Aku tidak akan lupa puisi yang disampaikan bukan sekadar suara tetapi kejiwaan dan mengejutkan jiwa yang selama ini tidur. Zaen Kasturi, Marzuki Ali, Syed Munawer, Ridzuan Harun dan yang benar-benar membangkitkan Melayu yang terkujur dalam jiwa bangsa kita…, Khalid Salleh.

Aku masih mendambakan puisi yang dibaca En. Ridzuan Harun. Tatkala dia menyampaikan puisi itu, aku menangis. Tidak tertahan air mata mengalir di sudut benakku. Benar seperti apa yang dikatakan dalam puisi En Wan itu. Selamat Tahun Baharu Bahasaku. Bahasa Melayu semakin uzur dan semakin sakit. Godaan dari bahasa pendatang dan penjajah membuatkan bahasa Melayu hampir terkulai layu. Anak bangsa tidak lagi ambil endah tentang riwayat bahasa Melayu. Bahasa Melayu… bahasa kuno! Bahasa Melayu… bahasa yang dijajah. Ah! Persetankan apa yang mahu dikatakan oleh segolongan politikus. Merampas kedaulatan bahasa dan bangsa Melayu. Kenapa perlu bahasa dan bangsa dipolitikan? Inilah akibatnya apabila ahli politik yang datangnya dari jiwa-jiwa yang mati!

Aku ingin mengulangi setiap kata-kata yang terlafaz dari mulut saudara Khalid Salleh. Saat aku melihat dia berdiri di depan pembesar suara… pastinya yang berkata itu bukanlah suara tetapi jiwa yang memberontak. Tidak perlu selindung… tidak perlu gentar ancaman ISA. Ada apa dengan kita Melayu yang bisa dan berani melokapkan bangsa Melayu kerana berkata-kata benar. Sampai bila kita mahu diri tunduk dibawah permainan politikus dan pemimpin segala tikus! Setiap kata-katanya disahut dengan tepukan gemuruh. Sekuat tepukan itu menghentak kulit di telapak tangan, seakan bangun dan bangkit jiwa dan kecintaan terhadap bahasa dan bangsa Melayuku. Aku bangsa Melayu, bahasa Melayu… bahasa hidup dan jiwaku. Aku tidak perlu selindung atau malu hanya kerana aku bergelar seorang Melayu. Kita tidak perlu lagi menjadi sukarela untuk melakukan samak setiap kali bekerja dengan para anjing. Tiba masa untuk kita berubah dan berdiri sendiri tanpa berkongsi dengan mereka. Sampai bila kita perlu terus berbesar hati yang mana dikemudian harinya akan menjadi hamba pula.

Tepat pukul 12 tengah malam, jam Dataran Merdeka bergema. Meriah dengan percikan bunga api (bayangkan berapa agaknya duit yang terbakar bersama-sama bunga api itu. Mana datangnya duit tu? Dari mana pula datangnya bunga api itu? Bukankah di Malaysia bunga api itu diHARAMkan! Siapa pula yang mengHALALkan bunga api untuk dibakar pada malam tahun baru ya? Musykil…musykil. Siapa punya petualang agaknya ya?). Manakala di anjung beringin, detik 12 malam disambut dengan iringan selawat nabi sambil ramai-ramai menikmati hidangan pulut kuning. Biarpun ada antara golongan penonton yang berlari melihat percikan bunga api itu (mungkin jasad sahaja tertinggal di malam genta puisi tetapi roh dan nafsu melonjak-lonjak untuk berada dalam kebingaran Dataran Merdeka!) aku dan 2 sahabatku terus setia menemankan baki-baki penyajak yang tertinggal. Ternyata, majlis malam genta puisi ditutup dengan sebuah lagi puisi untuk membangunkan jiwa Melayu kita.

Aku harap di masa akan datang, akan diperbanyakkan dan diperhebatkan lagi malam genta puisi ASWARA dan PENA ini. Cuma satu permintaan aku (kalaulah aku mempunyai hak untuk meminta) tidak perlulah diundang ‘pendengar-pendengar’ dari IPT kalau sekadar untuk memenuhkan ruang dan membingitkan suasana. Kurang elok sekiranya pembaca puisi yang menyampaikan puisi dengan kejiwaan disambut dengan hilai tawa jalang mereka ini. Bukan sekadar mengganggu tumpuan pendeklamasi tetapi turut membunuh kecintaan pendengar yang datang atas dasar suka dan mencintai puisi itu sendiri. Kalau boleh disaring…. Saringlah secukupnya. Sakit telinga bila terpaksa mendengar hilaian suara jalang dan gosip-gosip sensasi di majlis kesedaran seperti ini. Lagipun, tanpa mereka… lebih selesa bagi mereka yang lain.

Mungkin pada pandangan mereka, aku bertutur dalam bahasa penjajah…
Mungkin mereka mendengar aku bernyanyi lagu-lagu pandatang…
Mungkin mereka ada terlihat aku memakai baju dan seluar anak-anak setan….

Tapi apa yang mereka tak tahu…
Jiwa aku terbakar setiap kali berdepan dengan pembongak bangsa… yang bertutur dalam bahasa penjajah dan bangang bahasa Melayu…
Bibirku menyanyi lagu-lagu pendatang asing kerana sukarnya aku untuk menyanyikan lagu yang mempunyai bait-bait indah dalam bahasaku,
Adakah mereka tahu aku mengalihkan bahasa lagu-lagu itu ke dalam bahasa Melayu kerana lagu itu nampak lebih cantik dalam bahasa Melayu…
Melayu tidak semestinya harus berbaju kurung, bersongkok dan berkeris… yang pentingnya ia menjadi akar dalam diri….

Mereka tidak tahu…
Keris adalah lambang kemelayuan yang amat aku kagumi….
Mereka tidak tahu…
Pencak silat adalah seni ketahanan diri yang aku sanjungi
Mereka tidak tahu…
Aku benci mereka yang hipokrasi….